Wednesday, August 26, 2009
Teknik Bertengkar Secara Positif
Rasulullah bersabda, "Sesiapa meninggalkan perdebatan, sedang dia berada di pihak yang benar, dibina untuknya sebuah rumah di tengah-tengah syurga."
(Riwayat Anas Bin Malik)
Tidak indahkah dijanjikan dengan sebuah rumah di tengah-tengah syurga? Sekalipun kita di pihak yang benar, namun untuk mengelakkan perbalahan berpanjangan, mengalah sahajalah. Rugikah kalau beralah? Bagi sesetengah orang yang mementingkan diri sendiri mungkin tidak munasabah jika mahu beralah tetapi apa kata kalau saya katakan ‘orang yang beralah akan menang besar kemudiannya?’
Pergaduhan suami isteri akan sentiasa berlaku. Bak lagu P.Ramlee ‘Sedang lidah lagi tergigit’. Anda tidak akan sentiasa boleh berkata ‘ok’ kepada isteri anda begitu juga dia. Setiap kali pergaduhan berlaku, pasti akan ada hati yang akan terluka terutamanya hati orang perempuan yang memang diketahui tidak dapat diramalkan.
Jika pergaduhan itu berpunca daripada sesuatu yang sangat kecil, maka jika kita perbesarkan, maka akan terlihatlah peribadi sebenar seseorang itu. Sungguh akan terlihat betapa hodoh sekali seseorang itu tambahan pula, mulutnya mudah sekali melancangkan kata-kata yang
tidak sedap didengar.
Sabda Rasulullah s.a.w:
"Orang mukmin bukan seorang pencela, bukan seorang pengutuk, bukan seorang yang keji dan bukan seorang yang berkata kotor."
(Riwayat Ibnu Mas’ud RA)
Dalam sabda ini, dapatlah kita fahami bahawa orang yang berkata keji bukanlah orang mukmin sebenar. Betapa iman kita dapat disukat dengan perlakuan yang sangat keji ini.
Pernahkah anda melihat pergaduhan suami isteri ini daripada sudut yang positif? Sebenarnya, pergaduhan akan menyebabkan terbentuknya satu penyatuan pelbagai perkara termasuklah cita rasa dan impian pasangan itu. Bagi mencapai tujuan inilah kita sering bertelingkah dengan
pasangan untuk mencapai sesuatu yang terbaik. Tidaklah saya maksudkan pergaduhan adalah baik, namun hal ini adalah lebih baik daripada kita berdiam dan tidak berbincang sehingga akhirnya tidak ada penyatuan antara suami dan isteri.
Justeru, pergaduhan menjadi medium kepada pasangan dalam menyatukan kasih sayang. Setiap individu akan melahirkan perasaan tidak puas hati dan sebagainya. Maka, di sini adalah tempat untuk mencurahkan perasaan. Jadi, janganlah memendam perasaan sehingga jiwa kita menjadi tertekan ibarat belon yang akan pecah akibat ditiup dengan angin yang kuat. Jika tidak diluahkan, pasangan anda tidak mungkin akan tahu perkara yang ada dalam hati anda.
Di sini, saya akan kongsikan beberapa tip untuk bertengkar secara positif:
1. Jangan terlampau banyak bercakap – Ketika bertengkar, hati masing-masing pasti dalam keadaan marah. Ketika marah, pasti perkara yang logik sekalipun tidak diterima melainkan masing-masing mahu menegakkan pendapat masing-masing. Jika anda sebagai suami mempunyai hak untuk bercakap sekalipun, kurangkan daripada terlalu menegakkan pendapat anda sendiri. Hal ini akan mencetuskan perasaan tidak puas hati kepada pasangan anda sehingga perlahan-lahan dia akan menjadi bosan dengan anda. Yang perlu anda lakukan adalah dengan memikirkan secara mendalam cara untuk mem-betulkan keadaan.
2. Jangan menyebut kelemahan pasangan – Bukan hanya isteri anda yang mempunyai kelemahan, anda juga ada ke-lemahan sendiri. Jadi, dengan mengungkit kelemahan dia, anda akan turut merangsang pasangan mengungkit kelemahan anda. Lagi pula, anda tidak akan menang dengan hanya mengungkit sebegini tetapi menyebabkan keadaan lebih parah. Jika mahu menegur pasangan, minta dia meluahkan ketidak-puasan hatinya tentang anda dahulu supaya apabila giliran anda nanti, dia tidak akan meninggikan suara.
3. Jangan membalas perbuatannya – Sebagai contoh, pasangan anda bermesra-mesra dengan lelaki sebelah rumah. Anda mahu membuatkan dia sedar bahawa perbuatannya salah. Jangan anda pula bermesra-mesra dengan perempuan lain di hadapan dia. Keadaan ini hanya memberi peluang yang lebih kepada isteri anda untuk menjauhi anda. Akhirnya, anda turut terlibat dalam menjarakkan perhubungan anda sendiri.
4. Jangan cuba mengubah pasangan – Anda dibesarkan dalam keluarga ‘begini’, isteri anda dibesarkan dalam keluarga ‘begitu’. Pastilah terdapat perbezaan antara kedua-duanya. Anda harus memahami bahawa cara dia melihat sesuatu pasti tidak sama dengan pandangan anda.
5. Fokus pada masalah – Jangan meleret-leret sehingga perkara yang bukan masalah akhirnya akan turut menjadi masalah.
6. Jangan tinggikan suara – Semakin tinggi suara kita ketika bergaduh, semakin tinggilah suara pasangan kita nanti. Pergaduhan seperti ini tidak akan menjadikan keadaan semakin baik malah semakin kusut. Cubalah bercakap dengan tenang sehingga isteri anda yang sedang marah akan turut tenang dan seterusnya dapat menyelesaikan masalah dengan lebih cepat.
7. Gunakan panggilan manja – Ada pasangan yang pada masa biasa menggunakan panggilan ‘sayang’ atau ‘manja’ tetapi ketika bergaduh, keadaan akan beralih sebaliknya. Panggilan kasar mengambil alih menyebabkan pasangan anda merasakan dirinya rendah sekali. Jangan emosi sehingga tergamak menggunakan panggilan kasar termasuklah ‘aku’ dan ‘kau’.
8. Elakkan terlalu emosional – Ketika sesi bergaduh ini, pasti pasangan anda akan selalu terlepas mulut. Jadi, jangan ambil perkara yang dikatakannya terlalu serius memandangkan ketika sedang bergaduh, seseorang itu cenderung berkata yang tidak-tidak terhadap lawannya.
9. Gunakan perkataan yang baik-baik – Selain menggunakan panggilan manja, gunakanlah juga perkataan yang tidak menyalahkan. Perkara ini akan menyebabkan masalah akan cepat selesai. Antara contoh perkataan yang boleh anda gunakan ialah, "Abang rasa sayang tak patut buat macam ni," berbanding "Ni semua salah engkaulah!"
10. Jangan bertengkar di depan makanan atau di tempat tidur – Hal ini kerana tempat tersebut sepatutnya tempat kita menjamu selera dan bermesra-mesra sesama sendiri.
11. Dengar luahan isteri – Mungkin sahaja perkara yang disampaikan oleh isteri anda itu dapat menyelesaikan masalah. Jika anda hilang tumpuan ketika ini, bukan sahaja anda akan kehilangan idea yang baik malah anda menggunakan cara sendiri yang belum tentu dapat menyelesaikan masalah anda berdua.
12. Jangan bergaduh di depan anak – Dengan bergaduh di hadapan anak, anda hanya akan membuatkan anak keliru dan mengadili sama ada ibu atau bapa mereka yang berada di pihak benar atau salah. Perkara yang lebih menakutkan akan berlaku jika anak anda menceritakan keadaan anda berdua kepada orang luar. Hal ini akan menjejaskan imej anda sekeluarga.
13. Bersabar – Sekalipun anda lelaki dan anda lebih kuat secara fizikal berbanding dengan isteri anda, jangan sekali-kali anda cuba untuk mengasari isteri anda. Dibimbangi dia juga akan belajar untuk melawan dan membaling segala jenis pinggan mangkuk ketika bergaduh pada masa lain.
14. Say NO to third party – Selagi terdaya menyelesaikan masalah anda sendiri, jangan libatkan orang lain. Campur tangan pihak ketiga kebanyakannya hanya menyulitkan keadaan. Sekiranya perlu, pilihlah orang yang adil untuk menyelesaikan masalah anda.
15. Mengalah tidak bererti kalah – Mengalah ketika saat genting ini tidak menunjukkan anda kalah. Anda hanya perlukan masa untuk membuktikan bahawa tindakan anda sebenarnya betul.
16. Jangan keluar dari rumah sebelum selesai – Selalu menonton drama di TV? Kebanyakannya menunjukkan suami akan segera meninggalkan rumah semasa bergaduh untuk memudahkan cerita. Tindakan ini sebenarnya akan menyebabkan isteri anda ditinggalkan dalam keadaan keliru. Hal ini menyebabkan dia akan berasa tertekan dan anda perlu ingat bahawa anak-anak akan ditinggalkan bersamanya di rumah. Perempuan yang hilang kewarasan akibat tekanan yang dahsyat akan menyebabkan mereka akan bertindak yang bukan-bukan. Mungkin sahaja dia akan memudaratkan dirinya atau anak-anak anda boleh menjadi mangsa keadaan. Sekiranya anda rasa tidak dapat menahan marah, beritahu isteri anda bahawa anda perlukan sedikit ketenangan dan hal ini lebih menampakkan rasa tanggungjawab anda terhadap permasalahan anda berdua.
17. Luahkan – Selain menjadi pendengar kepada permasalahan isteri, anda turut perlu meluahkan perasaan anda. Tunggu sehingga dia habis berbicara sebelum anda menyambung pendapat anda. Sekiranya anda tidak memberitahu keadaan sebenar anda, belum tentu dia dapat memahami keadaan anda.
Artikel di atas dipetik daripada Bab 9: Sedangkan Lidah Lagi Tergigit dalam buku
Manual Kerja Super Suami. Maklumat lanjut berkenaan buku ini boleh didapati di
www.books.perintis. com.my.
Friday, August 21, 2009
Yang Tersirat Di Sebalik Ramadhan dan Puasa

Berdasarkan ayat-ayat al-Quran dan hadis, puasa Ramadhan mempunyai banyak kelebihan, hikmat atau fadhilat. Antaranya ialah:
- Pintu neraka ditutup: Apabila seseorang itu benar-benar berpuasa, zahir dan batin serta puasanya itu menyekat dirinya daripada melakukan maksiat dan kejahatan.
- Pintu syurga dibuka: Peluang yang besar bagi seseorang melakukan amalan kebajikan yang boleh membawa kejayaan akhirat, menambah ketaqwaan kepada Allah dan setiap amalan kebajikan diberi ganjaran yang banyak.
- Syaitan dikurung: Apabila seseorang berpuasa, syaitan dan iblis tidak mempunyai peluang untuk menggoda dan menghasut manusia melalui hawa nafsu kerana puasa merupakan perisai yang dapat menangkis sebarang hasutan dari syaitan.
- Malam Lailatulqadar: Salah satu kelebihan yang Allah berikan untuk umat Islam dalam bulan Ramadhan ialah malam Lailatulqadar. Ini bererti sesiapa yang beribadat pada malam-malam tersebut digandakan pahala dan ganjaran yang amat tinggi di sisi Allah.
- Gandaan amalan: Amalan sunat pahalanya sama dengan amalan fardu dan amalan fardu adalah 70 kali amalan fardu di bulan yang lain.
Sementara itu dalam kegembiraan menyambut Ramadhan, fahamilah sejelas-jelasnya akan hakikat dan falsafah puasa yang tersirat. Kefahaman ini bukan sahaja membantu kita menjalani ibadah tetapi dapat menunaikan puasa dengan sempurna. Antaranya ialah:
- Menjadikan seseorang muslim itu lebih bertaqwa kepada Allah berdasarkan firman Allah dalam Surah al-Baqarah, ayat 183 seperti di atas dan melalui ayat 13, Surah al-Hujarat yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang-orang yang bertaqwa."
- Melatih manusia supaya bersabar menghadapi kesusahan atau bencana, penderitaan dan juga cabaran-cabaran hidup. Kehidupan manusia memang sentiasa dirundung cabaran dan ujian-ujian Allah. Menegaskan mengenai cabaran di dunia, Allah s.w.t menegaskan di dalam ayat 155, Surah al-Baqarah: Maksudnya, "Demi sesungguhnya kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan kelaparan, kekurangan harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar."
- Melahirkan muslim yang amanah yang merupakan sifat yang tinggi nilainya. Puasa melatih manusia dengan sifat-sifat amanah kerana tanpanya puasa akan menjadi batal atau tidak sempurna. Jika begitu, sia-sia sahaja seseorang itu berpuasa dan tiada faedahnya menahan lapar dan dahaga.
- Melahirkan perasaan insaf dan belas kasihan serta bertimbang rasa. Hanya orang yang berpuasa sahaja dapat memahami atau mengetahui kesengsaraan orang-orang miskin yang lapar dan dahaga. Melalui keinsafan, diharapkan seseorang Muslim itu tidak keberatan untuk memberi bantuan, sedekah atau sumbangan kepada golongan yang tidak berada. Amal jariah sememangnya dituntut di dalam Islam.
- Sebagai senjata menahan manusia daripada melakukan maksiat dan kemungkaran. Tiada ertinya seseorang itu berpuasa tetapi pada masa yang sama melakukan perkara-perkara keji dan mungkar walaupun hanya melalui kata-kata. Sebab itu Rasulullah s.a.w berpesan: "Puasa itu sebagai perisai dan apabila seseorang itu berpuasa maka janganlah ia bercakap kotor, jangan menjerit-jerit serta jangan berlaku bodoh."
Kesimpulannya, terdapat pelbagai falsafah yang tersirat di sebalik bulan Ramadhan yang hadirnya sekali setahun. Justeru itu, hayatilah pesanan Rasulullah s.a.w melalui sebuah hadisnya yang bermaksud: "Ramai di kalangan umatku yang berpuasa tetapi tiada mendapat apa-apa kecuali lapar dan dahaga."

Wednesday, August 12, 2009
Oh Ayah.. Oh Ibu...
BAGAIKAN tidak lengkap setiap keluarga jika tidak mempunyai anak. Anak bukan sahaja merupakan permata keluarga, dan kepada anaklah bersandarnya harapan ibu bapa.
Seseorang anak yang dilahirkan melalui ikatan perkahwinan, bukan sahaja menjadi pengikat kasih sayang antara suami dan isteri, malah akan terus dianggap sebagai harta yang tidak ternilai harganya.
Apakah sebenarnya tanggungjawab ibu bapa? Adakah ibu bapa itu hanya sekadar "melahirkan anak", dan setelah anak itu dilahirkan maka selesailah tanggungjawab.
Berdasarkan tuntutan kehidupan, bagi meneruskan kelangsungan hidup, anak-anak perlu dididik oleh ibu bapa. Setelah sampai ke satu peringkat, anak-anak akan diajar dengan pelbagai amalan bagi melengkapkan keperluan spiritual, fizikal dan fitrahnya.
Anak-anak yang diibaratkan sebagai harta perlu dijaga sebaik mungkin. Jika dijaga dan dipelihara dengan baik, harta itu akan menjadi "hiasan hidup" yang berharga, jika salah didikan akan pula menjadi "musuh orang tuanya".
Hakikatnya kebanyakan ibu bapa mengharapkan kesihatan yang baik untuk anak-anak, namun seakan lupa bahawa selain faktor keturunan, pendidikanlah yang akan menentukan masa depan keluarga, masyarakat dan negara.
Faktor keturunan juga penting, kerana itu, Rasullullah SAW sering mengingatkan bahawa seorang lelaki mestilah hati-hati dalam menentukan perempuan untuk dijadikan suri teladan dan ibu kepada anak-anaknya.
Kita dapati para ilmuan agama menegaskan bahawa ibubapa berpotensi besar mewariskan kepada anak cucu mereka sifat-sifat jasmaniah dan rohaniah melalui gen yang mereka miliki.
Dalam bahasa hadis, Nabi SAW memberi nama gen dengan 'iriq.
Justeru Rasullulah SAW mengingatkan agar berhati-hati dalam memilih untuk menabur benih yang mengandungi gen kerana al-'irqu dassas, (gen itu sedemikian kecil dan tersembunyi namun memberi kesan dan pengaruh kepada keturunan).
Inilah yang menjadi satu sebab mengapa al-Quran melarang seorang Muslim yang baik dan beriman untuk berkahwin dengan seorang penzina (al-Quran24:3)
Islam memandang dunia kanak-kanak penuh dengan keindahan dan mempesonakan. Agar keindahan dan keterpersonaan itu tidak menyebabkan kanak-kanak leka dan membesar dalam suasana tanpa memahami adab, Islam mengamanahkan ibu bapa agar memberikan perhatian, panduan dan bimbingan.
Jika ibu bapa membiarkan kanak-kanak diselubungi keterpesonaan melampau, kanak-kanak membesar dalam suasana yang tempang dan berbahaya.
Kanak-kanak akan mengambil tindakan berdasarkan rasa dan gerak naluri semata-mata. Akan menyebabkan terjerumus ke lembah bahaya dan penuh kepura-puraan.
Rasulullah SAW menganjurkan agar kita menghormati anak-anak dengan memberi pendidikan dengan sebaik mungkin. Allah SWT memberi rahmat kepada seseorang yang membantu anaknya sehingga anak itu dapat berbakti kepadanya.
Ada seorang sahabat bertanya, ''Bagaimana cara menbantunya? jawab baginda,"Menerima segala usahanya walaupun kecil, memaafkan kesilapannya, tidak membebaninya dengan beban yang berat dan tidak pula memaki sehingga melukai hatinya"
Mengeluh
Kita sering mendengar ibu bapa mengeluh tentang anak-anak yang nakal, degil dan tidak mendengar kata. Sehingga keluar kata-kata seperti "memang dasar anak degil, anak syaitan atau lain perkataan yang tidak baik" daripada mulut ibu bapa sendiri.
Mereka sebenarnya tidak sedar bahawa kedegilan anak-anak itu adalah berpunca daripada salah asuhan mereka sendiri.
Prof Dr. Hamka menjelaskan cara terbaik mendidik anak ialah: ''Hendaklah perjalanan hidupmu dengan anak-anakmu lurus dan pertengahan. Hendaklah kamu menjadi kaca yang jernih dan bercahaya untuk ditilik oleh anak-anakmu, Jauhkan dirimu dari perbuatan tercela."
Anak-anak mudah meniru. Orang tuanya merupakan idolanya. Bila melihat kebiasaan baik dari kedua orang tuanya, kanak-kanak dengan cepat mahu mencontohinya. Dunia anak adalah dunia permainan. Dengan bermain dan berhubung dengan mereka secara tidak langsung kita juga mendidiknya. Justeru itu Rasulullah SAW menekankan pentingnya bermain bersama anak.
Sabda baginda yang bermaksud: Siapa yang menggembirakan hati anaknya, maka ia bagaikan memerdekakan hambanya. Siapa yang bergurau untuk menyenangkan hatinya, maka ia bagaikan menangis kerana takut kepada Allah SWT.
Persoalannya sekarang kepada siapa kita harus belajar mendidik anak-anak. Al-Quran dan hadis menawarkan pelbagai metode sebagai panduan yang harus dilaksanakan oleh para pendidik, termasuk ibu bapa.
Rasulullah SAW adalah contoh yang tepat untuk diikuti di mana segala perbuatannya mendidik anak-anak merupakan manifestasi daripada al-Quran.
Rasulullah SAW kadang memberikan nasihat secara langsung kepada anak-anak. Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Nak, jagalah semua perintah Allah, nescaya Allah memeliharamu. Peliharalah semua perintah Allah, nescaya engkau dapati Dia dihadapanmu. Apabila engkau memohon hal itu kepada Allah, dan bila meminta pertolongan mintalah kepada Allah.
Dan ketahuilah sekiranya seluruh masyarakat sepakat berbuat sesuatu yang bermanfaat bagimu, maka semua manfaat itu hanyalah Allah yang menentukannya dan bila mereka akan berbuat jahat kepadamu, maka kejahatan itu tidak akan menimpamu kecuali yang telah ditetapkan Allah, terangkat Qalam dan keringlah pena. (Riwayat Tarmizi)
Kegelisahan Rasulullah SAW dalam mendidik anak-anak dapat dilihat bagaimana Rasulullah SAW ketika mendengar pengakuan seorang sahabat bahawa mereka tidak pernah mencium anak-anak. Walhal perbuatan itu sangat penting untuk perkembangan mental yang sihat. Sudahkah kita mencium anak-anak kita hari ini?
Dalam hubungan ini Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Siapa yang tidak mengasihi (orang lain) maka dia tidak akan dikasihi. Kehadiran anak-anak dalam sebuah rumah tangga sepatutnya menjadi penyejuk hati dan penenang jiwa. Ini sesuai dengan firman Allah SWT yang berbunyi: …..Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami, isteri-isteri kami dan anak-anak kami sebagai penyenang hati. (Surah Al-Furqan:74)
Luqman Al-Hakim, seorang yang soleh dan sangat menyedari tanggungjawab itu. Al-Quran telah dijadikan teladan bagi menjadi dirinya sebagai seorang tua yang baik dan bijak. Dalam al-Quran merakamkan nasihatnya kepada anaknya.
"Wahai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah. Sesungguhnya syirik itu perbuatan zalim yang besar, katanya. Hai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (orang lain) mengerjakan yang baik, dan cegahlah (mereka) daripada perbuatan mungkar; dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu."
Begitu besarnya amanat dan nilai yang terdapat di dalam diri seorang anak sehingga ia boleh menjadi penghalang orang tuanya daripada seksaan api neraka.
Kisah Aisyah r.a. isteri Rasulullah SAW yang pernah didatangi seorang perempuan miskin yang membawa dua anak perempuannya.
Ummul mukminin ini mengisahkan: ''Aku memberikannya dua biji kurma. Kemudian ia memberikan kurma itu kepada kedua-dua anaknya, dan selebihnya ia berniat untuk memakannya. Namun kedua-dua anaknya berusaha merebut sehingga kurma itu pun jatuh dari tangannya. Akhirnya perempuan miskin itu tidak jadi makan satu biji kurma pun."
Lantaran peristiwa itu meninggalkan kesan yang mendalam pada diri Aisyah lalu ia menceritakan kepada Rasulullah SAW, Baginda bersabda yang bemaksud:
Barangsiapa yang mendapat ujian atau menderita kerana mengurus anak-anaknya, kemudian ia memperlakukan secara baik, maka anak-anaknya itu akan menjadi penghalang baginya daripada api neraka.
Monday, August 10, 2009
Soalnya
Soal Rasa Lidah Tak Boleh Bohong..
Kenapa?
Muahaha..
~(^_^)~ Read More......


